Isra’ Mi’raj (bag.2)

Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah)

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik
tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

a) Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu
jumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang
makan riba’ dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan
kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada
susu penzina perempuan.

b) Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga yang kedua, lalu masuk dan
bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.

c) Langit Ketiga: Baginda naik langit ketiga dan bertemu dengan Nabi Yusuf AS.
d) Langit Keempat: Baginda naik tangga keempat dan bertemu dengan Nabi
Idris AS.

e) Langit Kelima: Baginda naik tangga kelima dan bertemu dengan Nabi Harun
AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israel.

f) Langit keenam: Baginda naik tangga langit keenam dan bertemu dengan
nabi-nabi.

g) Seterusnya dengan Nabi Musa AS, Rasulullah mengangkat kepala (disuruh
oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai termasuk
70000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

h) Langit Ketujuh : Baginda naik tangga langit keyujuh dan masuk langit ketujuh
lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul
Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW Nabi
Ibrahim AS bersabda. “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini.
Umatmu adalah umat terakhir dan terlalu dha’if , maka berdoalah untuk
umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syuga iaitu La Haulawala
Quwatta Illa Billah. Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda :
“Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik
tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah iaitu :
Subhanallah, Walhamdulillah, Wa La Ila Haillallah Allahuakbar dan La
Haulawala Quwatta Illa Billahil Azim. Bagi orang yang membaca setiap
kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.

i) Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail
masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini
betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

j) Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “Al – Kursi” yang berbetulan dengan dahan
pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban
pada pokok itu. Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan
sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah
warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas
emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia.

k) Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang
terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat
neraka beserta dengan malaikat Malik penunggunya.

l) Tangga kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-
Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan
Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki ghaib di dalam nur ‘Arasy,
iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu
penuh kepada masjid dan tidak derhaka kepada ibu bapanya.
m) Tangga Kesepuluh : Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan
Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T dengan mata
kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan
Muhammad, Rasul-Nya.

Allah SWT: Ya Muhammad

Rasullah: Labbaika

Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah: Ya Rabb, Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau
berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau
berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau
kurniakan kerajaan Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa
pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin.
Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat
menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati.
Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah SWT : Aku ambil mu sebagai kekasih. Aku perkenankan mu sebagai
penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu
dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri
keutamaan dan keistimewaan kepada mu pada hari kiamat. Aku kurniakan
tujuh ayat (surah Al Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa
sebelum mu. Aku berikan mu ayat-ayat di akhir surah al Baqarah sebagai
suatu perbendaharaan di bawah “Arasy”. Aku berikan habuan daripada
kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku
kurniakan panji-panji Liwa – ul – hamd. Maka Adam dan semua yang lainya di
bawah panji-panji mu. Dan aku fardukan atas mu dan umat mu 50 (waktu)
sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah SAW dibawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian nabi
Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah S.W.T
agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas
sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan 5 waktu), baginda tidak mahu lagi
merayu kerana malu kepada Allah, dan akhirnya Allah perkenan memfardukan
sembahyang 5 waktu sehari semalam tetapi mengekalkan nilai pahalanya sebanyak
50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-
Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang
sama. Pengajaran penting daripada Israk dan Mikraj

Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh
fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa
dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang
diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Persoalannya di sini, mengapa Allah
tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di
Masjid al-Aqsa? Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para anbiya
terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi
Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh
dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama
surah al-Israk. Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat
di kalangan para anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu
kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah
buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang
menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia.
Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu
Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid
al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-
Haram hingga ke hari ini.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat
Islam membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia
ada kaitan dengan persoalan akidah mereka. Pengajaran kedua terpenting menerusi
peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan
mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga
tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan
kedudukannya dalam masyarakat. Apabila solat seseorang itu beres dengan
Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang
muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua
masjid yang disebutkan di atas. Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan
penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia
terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk
menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan
peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran. Wallahua’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s